MELAKA TENGAH: Dua beranak dicekup polis selepas disyaki membunuh seekor kucing dengan menggunakan selaras senapang angin dalam kejadian di sebuah rumah di Bukit Rambai, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian sekitar pukul 2.30 petang itu, suspek yang berusia 62 tahun dan anaknya berumur 27 tahun ditahan selepas kucing milik jiran mereka disahkan mati ketika dibawa ke klinik haiwan selepas mengalami muntah darah dan luka di belakang badan.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati tindakan dilakukan dua beranak itu susulan tidak berpuas hati dengan kucing betina berkenaan masuk ke rumah mereka.

“Pihak polis menerima laporan daripada pemilik kucing berusia 44 tahun mendakwa doktor yang merawat mendapati kucing mangsa telah ditembak dan terdapat geguli besi di dalam badannya dan tidak dapat diselamatkan.

“Tindakan lanjut dilakukan oleh Cawangan Jenayah D9 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah berjaya menahan dua lelaki serta merampas selaras senapang angin dan beberapa alatan yang dipercayai sebagai alat ganti senapang angin tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, suspek warga emas ditahan pada pukul 8 malam Isnin manakala anaknya ditahan 2.30 petang tadi selain penggeledahan didalam sebuah bilik rumah suspek juga menemui 17 butir peluru tabur.

Daripada siasatan yang dijalankan, kedua-dua suspek mengaku terlibat dengan insiden berkenaan dan kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.

“Pihak polis menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau aktiviti mencurigakan untuk segera menyalurkan maklumat,”tambahnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 30 Akta Kebajikan Haiwan 2015 yang boleh disabitkan dengan denda tidak kurang dari RM 20,000 dan tidak lebih daripada RM 100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.